CADANGAN BERI PEMAJU LESEN PINJAMAN WANG


KUALA LUMPUR 9 Sept. – Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa Kementerian Ke­sejahteraan Bandar, Peruma­h­an dan Kerajaan Tempatan menimbang semula cadangan memberi lesen pinjaman wang kepada pemaju perumahan.

Presidennya, Prof. Datuk Dr. N. Marimuthu berkata, walaupun ia kelihatan dapat membantu rakyat, namun berdasarkan kepada rekod syarikat pinjaman wang sedia ada, tindakan itu hanya akan menimbulkan masalah yang lebih besar kepada pengguna.

“Seperti yang kita tahu, kebanyakan syarikat pinjaman wang berlesen tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan, dan sehingga kini, apakah bentuk bantuan yang dapat diberikan kepada peminjam sekiranya mereka ditindas syarikat terbabit.

“Sekiranya kerajaan benar-benar mahu membantu rakyat yang kurang berkemampuan, usahlah bebankan mereka dengan hutang yang semakin meningkat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, menteri berke­naan, Tan Sri Noh Omar berkata, langkah memberi lesen pinjaman wang kepada pemaju dapat membantu pembeli menyelesaikan masalah tidak mempunyai wang mencukupi untuk membeli rumah dan sekali gus memperluaskan per­­­niagaan pemaju.

Marimuthu ketika me­ngu­las lanjut berkata, sistem sedia ada iaitu membuat pinjaman menerusi bank adalah lebih selamat dengan adanya insurans yang melindungi semua pihak.

Tambahnya, kerajaan perlu mencari inisiatif lain seperti menubuhkan bank perumahan yang mengkhususkan simpanan untuk pelaburan hartanah.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohamad Fauzi ketika dihubungi berkata, kementerian perlu perhalusi keputusan itu.

“Buat masa sekarang, walaupun garis panduan me­ngenai Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 (Pin­daan 2011) adalah jelas, namun kebanyakan syarikat pemberi pinjaman wang berlesen dilihat tidak mematuhinya.

“Kita khuatir, jika ia diberikan sewenang-wenangnya kepada pemaju perumahan pembeli akan teraniaya,” jelasnya.

Bagaimanapun, Naib Pre­siden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, pihaknya menyambut baik ca­dangan kementerian itu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatan Kuasa Peneraju Sektor Pembangunan Hartanah dan Industri Binaan Angkasa menjelaskan, ia merupakan langkah yang wajar dan berharap dilaksanakan secepat mungkin.

“Namun, kita harap tidak akan berlaku sebarang penye­lewengan dalam pelaksanaan­nya serta pihak yang terlibat mematuhi segala pe­raturan yang ditetapkan menerusi ak­ta berkenaan.

“Kita juga berharap pin­jaman yang dikenakan itu nanti patuh syariah supaya benar-benar membantu rakyat yang tidak berkemampuan memiliki rumah sendiri,” katanya.

Ulasan